Saturday 27 March 2021

Amalan utama pada malam nisfu syaaban



Kita sedang berada di dalam bulan Syaaban  dan hampir menemui  satu malam yang dinamakan malam nisfu  Syaaban. Sudah tentu  pada malam tersebut ada mempunyai keistimewaan tertentu kerana bulan Syaaban sendiri sudah mempunyai  keistimewaan  nya yang  tersendiri. Rasulullah SAW  sendiri menyatakan bahawa   catatan  amalan kita akan dipersembahkan  kepada Allah di dalam bulan Syaaban seperti  yang terkandung di dalam hadith baginda SAW yang diceritakan  oleh  Usamah  bin Zaid  r.a dan diriwayatkan  oleh al Nasa'i  : Wahai Pesuruh  Allah ,  saya  tidak pernah melihat tuan berpuasa lebih banyak daripada  tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban . Baginda SAW  menjelaskan : Itulah bulan yang sering diabaikan oleh kebanyakan  orang . Ia datang antara bulan Rejab  dan Ramadhan . Bulan yang diangkat di dalamnya  segala amalan kepada Tuhan sekelian  alam. Dan aku cukup suka jika amalan ku diangkat  sedangkan  aku sedang berpuasa.

Sebagai bukti  betapa  baginda SAW  sangat mengharapkan  rekod  dokumentasi  catatan amalan baginda  dipersembahkan  kepada Allah dalam keadaan  yang baik walaupun  baginda SAW terpelihara  daripada  dosa dengan  memperbanyakkan  berpuasa  di dalam bulan Syaaban sebagaimana  Baginda SAW  berpuasa  pada hari Isnin  dan Khamis. Ini  disebabkan  laporan  amalan dipersembahkan  kepada Allah pada detik  - detik  itu.

Itulah kelebihan bulan Syaaban secara umum. Namun  pada malam menjelang  15  Syaaban , Rasulullah  SAW  menjelaskan  bahawa pada malam itu ada  keistimewaannya  tersendiri. Maka masyarakat  Melayu  sangat menghargai  dan tidak melepaskan  peluang merebut  peluang besarnya  kelebihan  pada malam itu dengan mengadakan  beberapa ibadat tertentu seperti  membaca Yasin  di surau-surau dan masjid-masjid . Ada yang membacanya  sebanyak tiga kali  dan diakhiri  dengan bacaan doa yang tertentu. Ada yang  menyarankan  solat-solat tertentu dan ada yang berpuasa pada keesokan harinya .

Sebenarnya  tiada amalan khusus  yang diwajibkan  pada malam nisfu Syaaban . Adalah menjadi bid'ah  jika kita mewajibkan  ibadat  -ibadat tertentu pada malam  itu  namun melakukan  sebarang ketaatan  pada malam itu sebagai memenuhi malam  yang sangat istimewa itu  adalah tidak dilarang. Membaca al Quran  dari  mana -mana surah termasuk  surah Yasin juga dikira sebagai satu  ketaatan. Hendak  membaca banyak  kali  pun tiada halangan  tetapi  bukan bilangan yang dikejar , tetapi bacalah dengan memenuhi hak-hak bacaan yang sebenar dan lakukanlah dengan tertib, tadabbur dan ta’aqqul. Baca sekali dengan tartil dan penuh penghayatan jauh lebih baik dari membacanya secara tergesa-gesa untuk mengejar bilangan. Selepas itu bacalah apa-apa doa yang kita hajati kepada Allah. Tidak terikat dengan doa yang biasa dibaca sebelum – sebelum ini. Namun kalau kita berhasrat membaca doa yang sedia ada pun tiadalah halangannya selama mana kita tidak menganggap ibadat-ibadat tadi adalah agenda wajib pada malam itu. Lakukanlah solat-solat sunat mutlak ataupun solat sunat yang disunnahkan oleh Nabi SAW pada bila-bila  masa seperti solat sunat tasbih dan sebagainya pada malam itu. Pada keesokkan harinya jika ada yang sudah melazimi dan memperbanyakkan berpuasa dari awal bulan Syaaban boleh lah meneruskan puasa sunatnya.

Namun ada satu tawaran hebat dari Allah SWT pada malam itu. Iaitu tawaran pengampunanNya pada malam itu sangat lumayan namun terdapat dua golongan yang terkeluar dari tawaran berkenaan. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang diperakui oleh ulama sebagai hadith yang paling sahih berkaitan dengan kelebihan malam nisfu Syaaban : Allah akan muncul (rahmat dan pengampunannya) kepada seluruh makhlukNya pada malam nisfu Syaaban dan mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang saling bermusuhan (Hadith Riwayat al Tobroni)

Kelebihan khas pada malam itu ialah tawaran pengampunan terbuka luas. Ibadat yang paling utama pada malam itu ialah  membersihkan diri, keluarga dan masyarakat dari gejala-gejala syirik dan semua perkara yang mengarah kepada kesyirikan. Alangkah baiknya pada malam itu masyarakat diingatkan bentuk-bentuk fahaman yang membawa kepada pegangan menidakkan kuasa mutlak Allah SWT seperti fahaman yang menfokuskan manusia dan kehendaknya agar dipenuhi, melihat hukum-hakam agama sebagai penghalang kepada kebebasan mutlak individu, fahaman meletakkan aqal melepasi nas-nas syarak, menghalalkan dan mengiktiraf hubungan terlarang dan sebagainya. Ini adalah contoh-contoh menidakkan kuasa mutlak Allah dan mengecilkan had kuasa agama pada ruang lingkup yang terhad dan selebihnya diserahkan hak kuasanya ditentukan oleh makhlukNya.

Ibadat yang paling utama pada malam itu ialah menamatkan permusuhan sesama saudara-saudara Islamnya. Jangan kita tersilap , hadir ke masjid beramai-ramai, membaca surah Yasin sampai tiga kali, berdoa selepas itu memohon keampunan namun masih menyimpan permusuhan sesama sendiri yang akan menghalang pengampunan Allah SWT. Dalam isu kelebihan malam berkenaan, Allah meletakkan sebaris orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan sebagai golongan yang terkeluar dari tawaran pengampunan Allah SWT. 

Alangkah indahnya pada malam itu umat Islam saling memaafkan di antara satu sama lain. Jika ini akan berlaku nasib umat Islam nescaya akan berubah , Ramadhan yang bakal menjelang akan dinikmati keberkesanannya dan satu Syawal akan dihadiahkan kepada umat ini kemenangan yang hakiki. 

SS DATO HJ ZAMRI HASHIM

Timbalan Mufti Perak

#muftiperak

#timbalanmuftiperak

No comments:

Post a Comment

Elak tol 45 kali, wanita berkereta Mercedes A-Class akhirnya ditahan

Sister yang lebih dari mampu bayar TOL sebab pakai Merc yang berharga lebih RM200 Ribu, tetapi tak nak bayar tol.  Namun ibarat sepandai-pan...