Saturday 3 April 2021

#Chemor Tiga pejalan kaki cedera dirempuh kereta


Tiga pejalan kaki cedera dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan selepas mengelak sebuah motosikal di Pasar Pagi Klebang Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, tiga pejalan kaki masing-masing dua lelaki dan seorang wanita berusia 64, 70 dan 55 tahun mengalami luka-luka dan lebam di beberapa bahagian badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iriz dipandu lelaki berusia 82 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chemor.

Katanya, kereta itu bagaimanapun hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba masuk ke laluannya.

“Akibat terkejut dan mengelak ke kanan, kereta dipandu warga emas itu telah terlanggar sebuah van di kanan jalan, gerai penjaja dan tiga orang pejalan kaki di pasar itu.

“Ketiga-tiga pejalan kaki tersebut cedera ringan termasuk luka-luka dan lebam dengan masing-masing menerima rawatan di hospital,” katanya.

Menurut beliau, dalam kejadian tersebut pemandu Proton Iriz itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan motosikal yang terlibat.

“Kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk dihantar ke Puspakom bagi tujuan pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Elak tol 45 kali, wanita berkereta Mercedes A-Class akhirnya ditahan

Sister yang lebih dari mampu bayar TOL sebab pakai Merc yang berharga lebih RM200 Ribu, tetapi tak nak bayar tol.  Namun ibarat sepandai-pan...