Saturday 3 April 2021

Sungai Perak diancam baung ekor merah

 

KAMPUNG GAJAH: Jabatan Perikanan mengesahkan pemilik sangkar ikan yang hanyut dan pecah di Teluk Intan, 29 Mac lalu turut menternak ikan baung ekor merah.

Berikutan kejadian itu, ikan baung atau nama saintifiknya Hemibagrus Wyckioides dipercayai terlepas ke Sungai Perak. 

Spesies dikategorikan sebagai ikan pemangsa dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam itu berbahaya kepada ekosistem sungai dan tasik apabila dikesan mampu memusnahkan keseluruhan hidupan asal jika terlepas masuk ke kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri, berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah kerana ia termasuk dalam kategori ikan asing spesies alien.


Beliau berkata pihaknya percaya pemilik sangkar berkenaan menternak ikan itu secara haram bersama ikan lain.

"Kami memang tidak mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan baung merah tetapi jika ada penternak yang mahu membelanya ia perlu merujuk kepada jabatan dahulu.

"Ikan jenis ini memang tidak dibenarkan diternak dalam sangkar kerana dikhuatiri terlepas dalam sungai di mana ia adalah ikan pemangsa yang sangat berisiko kepada sumber sungai kita.

"Jika boleh pun mungkin diternak dalam tangki tetapi bukan mudah kerana kita perlu membuat penilaian seperti sistem penternakan dan pembuangan sisa air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaki berkata, pemilik itu mempunyai 300 petak sangkar yang menempatkan pelbagai jenis ikan seperti patin, baung dan talapia.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menolak individu terbabit turut membela baung ekor merah di dua atau tiga sangkar di Sungai Perak.

"Dalam kejadian itu tali pengikat sangkar putus dan menyebabkan 250 sangkar ikan hanyut, malah ada yang pecah. Ia turut mengakibatkan ikan mati dan terlepas ke sungai termasuk ikan baung ekor merah.

"Tetapi ikan ini dibela dan diberi makan palet, jadi ia agak jinak dan tidak akan pergi terlalu jauh. Dia juga akan menunggu diberi makan, jadi kita saran nelayan (dan pemilik sangkar sendiri) memancing atau menjala terus ikan itu supaya spesis ini tidak membiak dalam perairan sungai kita," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah melakukan lawatan dan pemantauan di lokasi dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya sebelum mengambil tindakan susulan lain.

Sementara itu, seorang nelayan dari Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah, Muhammad Firdaus Othman, 30, berkata, dia terkejut apabila ramai rakannya yang memancing di kuala Sungai Buaya memperoleh ikan baung ekor merah.

Menurutnya, lokasi kampung mereka berhampiran dengan Sungai Perak di Teluk Intan menyebabkan ikan itu terlepas hingga ke kawasan mereka yang disedari dua hari selepas kejadian itu.

"Ada kawan dapat antara dua hingga sembilan ekor ikan jenis itu ketika memancing di sungai dengan anggaran berat antara dua hingga tiga kilogram seekor.

"Kami maklum jenis ikan ini memang bahaya dan akan makan semua sumber sungai. Jika dibiarkan ia akan membiak sekali gus menjejaskan sumber Sungai Perak di Hilir Perak juga terkenal dengan udang galah," katanya.

Muhammad Firdaus berkata, mereka juga terkilan dengan tindakan individu yang mementingkan diri sendiri kerana masih tetap membela ikan jenis itu dan berharap kejadian sama tidak berulang - BH

No comments:

Post a Comment

Elak tol 45 kali, wanita berkereta Mercedes A-Class akhirnya ditahan

Sister yang lebih dari mampu bayar TOL sebab pakai Merc yang berharga lebih RM200 Ribu, tetapi tak nak bayar tol.  Namun ibarat sepandai-pan...