Wednesday 19 May 2021

Batu Gajah : Pekerja bunuh majikan kerana tidak dapat cuti

YDH Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi telah membuat lawatan penghormatan terakhir bagi  mendiang Kew Nam Wang berumur 52 tahun yang menjadi mangsa tidak puas hati pekerjanya di tempat kerja dan telah menyebabkan kematian.


BATU GAJAH: Berang permohonan cuti tidak diluluskan, seorang lelaki warga Myanmar sanggup memukul majikannya dengan kayu di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing di sini kelmarin.


Mangsa, Kew Nam Wang, 52, yang parah di kepala disahkan meninggal dunia pada pukul 8.35 malam ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.


Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku susulan pertengkaran antara suspek berusia 23 tahun dan mangsa berkaitan permohonan cuti lelaki itu.


Katanya, suspek kemudian bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu di bahagian belakang kepala.


“Pukulan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera di kepala manakala suspek melarikan diri dengan menaiki basikal.


“Kejadian itu disaksikan oleh dua rakan senegara suspek dengan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.


Menurut beliau, mangsa yang mengalami pendarahan di otak, retak tempurung kepala dan patah tulang tengkuk itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas lebih 12 jam menerima rawatan.


Katanya, suspek yang melarikan diri itu bagaimanapun berjaya ditahan di belakang kawasan perumahan di Bandar Seri Pengkalan, Pusing pada pukul 6.15 petang, semalam.


“Siasatan di tempat kejadian mendapati premis tersebut mempunyai tiga kamera litar tertutup namun tidak berfungsi sejak setahun lalu.


“Ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif mengambil dadah dan dia direman tujuh hari sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. 


SUMBER : UTUSAN ONLINE 



 

No comments:

Post a Comment

Elak tol 45 kali, wanita berkereta Mercedes A-Class akhirnya ditahan

Sister yang lebih dari mampu bayar TOL sebab pakai Merc yang berharga lebih RM200 Ribu, tetapi tak nak bayar tol.  Namun ibarat sepandai-pan...