Sunday 9 May 2021

Bekas tentera serang post Batalion ke-4 Gerik mati ditembak

 


Seorang lelaki bersenjatakan parang yang menceroboh masuk kawasan pos kawalan Kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan, di sini, mati ditembak ketika bergelut dengan pengawal di pintu hadapan kem, jam 6.45 petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebelum pergelutan berlaku, lelaki berusia 35 tahun itu diberi amaran oleh anggota tentera yang melakukan kawalan di pos pintu hadapan kem berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit bagaimanapun tidak menghiraukan amaran itu, malah bertindak agresif menyerang anggota tentera pengawal dengan senjata yang dibawa dan berlaku pergelutan sebelum ditembak.

"Dalam pergelutan itu, anggota tentera pengawal pos melepaskan tembakan dan mengenai lelaki terbabit.

"Tentera kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dan menghantar lelaki terbabit ke Hospital Gerik, untuk mendapatkan rawatan. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, lelaki terbabit adalah bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat pada 2003 dan ditamatkan perkhidmatannya pada 2013 kerana masalah mental.

Katanya, pihak IPD Gerik juga ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan dan merampas beberapa barangan berkaitan kes itu.

"Pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat yang dibuat pada hari ini di Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan polis berharap tiada sebarang spekulasi daripada orang ramai sehingga boleh menjejaskan siasatan.

HMetro

No comments:

Post a Comment

Elak tol 45 kali, wanita berkereta Mercedes A-Class akhirnya ditahan

Sister yang lebih dari mampu bayar TOL sebab pakai Merc yang berharga lebih RM200 Ribu, tetapi tak nak bayar tol.  Namun ibarat sepandai-pan...