SUNGAI SIPUT: 18 saman berkaitan kesalahan trafik dikeluarkan terhadap sekumpulan 20 remaja yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal di Jambatan Victoria, Karai, di sini, petang Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata kesemua mereka berusia antara 18 hingga awal 20-an turut diarahkan menolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Karai membabitkan jarak kira-kira 450 meter bagi tujuan dokumentasi.
Beliau berkata, saman yang dikeluarkan kira-kira jam 3 petang itu adalah hanya bagi kesalahan trafik seperti tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu serta ubahsuai motosikal tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.
"Tindakan saman yang dilakukan adalah hasil aduan orang ramai yang mendapati mereka sering menjadikan jambatan yang sedia menjadi tumpuan pelancong itu untuk melepak dan bergurau senda sesama mereka dalam keadaan tiada pematuhan penjarakan fizikal.
"Selain itu anggota polis yang membuat rondaan di situ, sebelum ini juga sudah berulang kali memberi amaran supaya mereka bersurai, namun sesudah ketiadaan peronda, mereka kembali melepak di situ.
"Bagaimanapun untuk kali ini, tiada kompaun dikeluarkan terhadap mereka kerana pelanggaran SOP PKP sebaliknya diberi amaran keras untuk tidak mengulangi kesalahan itu, mengambil kira usia hampir keseluruhan dari mereka yang masih remaja (bawah 21 tahun)," katanya ketika dihubungi semalam.
Mohd Khaizam berkata, amaran keras yang diberikan kerana pelanggaran SOP PKP itu sekali gus menunjukkan polis masih diberi kuasa serta mempunyai budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun.
Beliau berkata, namun kuasa budi bicara terbabit bukanlah alsan untuk masyarakt mengambil mudah menegai pematuhan SOP selepas ini.
"Saya minta orang ramai patuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan kita tidak lagi akan berkompromi selepas ini untuk tindakan tegas diambil sekiranya kesalahan masih dilakukan," katanya.
Sumber
No comments:
Post a Comment