Sunday 21 February 2021

Perak bakal agih 20,000 telefon pintar kepada B40 - MB


 Kerajaan Perak akan mengagihkan 20,000 unit telefon pintar kepada ketua isi rumah B40 untuk tujuan pembelajaran dalam talian bagi anak mereka.


Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, bantuan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama sebuah yayasan dan sedang dalam peringkat akhir perbincangan.


“Kalau perbincangan berhasil, kita nak lancar (agihan) Mac ini,” kata beliau selepas melancarkan Program Pecutan Akhir-Kelas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan secara dalam talian.


“Melalui (usaha ini), kita akan dapat membantu keluarga miskin yang tidak berkeupayaan menyediakan telefon pintar dan modul pembelajaran.”


Saarani berharap, program agihan telefon pintar itu dapat dimuktamadkan secepat mungkin bagi memastikan golongan kurang berkemampuan tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.


Katanya, walaupun sesi persekolahan bermula Mac, agihan peranti itu akan tetap diteruskan untuk golongan terbabit.


Sementara itu, mengulas pelaksanaan “Program Tuisyen Cikgu Saarani” yang dilancarkan sebelum ini, beliau berkata satu modul khas yang lebih tersusun kini dirangka oleh beberapa pakar bagi meneruskan program itu untuk jangka masa panjang.


“Kita akan buat program motivasi keibubapaan, motivasi pelajar serta program perkhemahan dalam cuti untuk pelajar, selain program sedia ada,” kata beliau.


Dalam perkembangan lain, Saarani meminta semua rakyat termasuk masyarakat Orang Asli supaya tidak takut menerima vaksin Covid-19 dan tidak termakan pujukan dan hasutan beberapa pihak yang mahu rakyat menolak vaksin.


Beliau berkata, persediaan akhir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, Ipoh, juga kini berlangsung bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.


“Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadualkan melawat stadium Selasa ini untuk meninjau sendiri persiapan dilakukan dan sudah tentunya keberangkatan baginda untuk memberi keyakinan kepada rakyat Perak terhadap proses pengambilan vaksin Covid-19.


“Jadi saya rayu kepada seluruh rakyat Perak untuk terima vaksin ini secara terbuka, jangan ada yang takut atau mudah dihasut dengan pihak yang cuba mengelak menerima vaksin ini,” kata beliau.

FMT

No comments:

Post a Comment

Elak tol 45 kali, wanita berkereta Mercedes A-Class akhirnya ditahan

Sister yang lebih dari mampu bayar TOL sebab pakai Merc yang berharga lebih RM200 Ribu, tetapi tak nak bayar tol.  Namun ibarat sepandai-pan...