Sunday 21 February 2021

PKPD di asrama, kilang, tapak binaan Central Medicare di Perak

 

Kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak bermula tengah malam ini.


Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula 22 Feb hingga 7 Mac itu susulan terdapat jangkitan Covid-19 di kawasan terbabit.


“Sehingga 19 Feb, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 1,966 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 185 orang didapati positif.


“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 orang pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti ini, seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Ismail turut mengumumkan penamatan PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangannya bermula esok seperti dijadualkan.

Sementara itu, Ismail berkata polis semalam menahan 493 individu ingkar SOP dan daripada jumlah itu 484 dikompaun manakala sembilan direman.

Katanya, kesalahan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran mencatatkan kes paling tinggi iaitu 133.

“Antara kesalahan lain direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (132), gagal menyediakan peralatan, merekod diri pelanggan (117), tidak memakai pelitup muka (70), aktiviti pusat hiburan (15), premis beroperasi lebih masa, tanpa kebenaran (13), keluar rumah tanpa alasan munasabah (5), aktiviti sukan (2) dan lain-lain (5),” katanya.


Pada masa sama pihak berkuasa melalui Operasi Benteng menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas 17 kenderaan darat.


Ismail berkata, sehingga semalam seramai 426,923 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 20,752 majikan.


“Daripada jumlah itu, seramai 7,778 orang disahkan positif manakala 419,145 lagi negatif,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Elak tol 45 kali, wanita berkereta Mercedes A-Class akhirnya ditahan

Sister yang lebih dari mampu bayar TOL sebab pakai Merc yang berharga lebih RM200 Ribu, tetapi tak nak bayar tol.  Namun ibarat sepandai-pan...