Keadaan suspek kes bunuh seorang ibu tunggal dalam pergaduhan di kediaman mangsa di Taman Perpaduan, malam semalam yang cedera akibat beberapa kesan tikaman pada dadanya, kini stabil.
Ketua Polis Daerah Ipoh, A. Asmadi Abdul Aziz berkata suspek berumur 23 tahun yang ditempatkan di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun itu bagaimanapun belum sedarkan diri selepas dibedah pada kira-kira pukul 3 pagi.
“Pembedahan dilakukan bagi melihat kesan kecederaan pada badannya dan doktor memaklumkan kecederaan dialami suspek adalah tidak serius,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu, polis yang ke lokasi kejadian menemui mayat mangsa K. Krishna, 31, dengan beberapa kesan tikaman pada dada bersama suspek berumur 23 tahun yang turut cedera dengan beberapa kesan tikaman pada dadanya dalam keadaan berdarah di dalam rumah itu.
Suspek kemudian dibawa ke hospital dan ditempatkan di zon merah untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.
Lebih menyayat hati apabila kedua-dua anak lelaki mangsa berusia enam dan lapan tahun turut menyaksikan insiden itu namun sempat melarikan diri untuk mendapatkan bantuan daripada jiran yang kemudiannya menghubungi pihak polis.
FMT
No comments:
Post a Comment