Penduduk Kampung Ulu Kuang meluahkan kebimbangan terhadap Sungai Kuang yang kini tidak sejernih dahulu kerana dipercayai disebabkan pencemaran yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Seorang penduduk, Huzaimah Aziz, 60, berkata, sebelum ini sungai tersebut menjadi sumber air utama kepada penduduk untuk kegunaan harian seperti membasuh pakaian dan menangkap ikan tetapi sejak tiga tahun lalu ia tidak lagi digunakan seperti biasa.
Menurutnya, pada hari tertentu air tersebut menjadi kehitaman dan berbau busuk seperti najis haiwan dipercayai berpunca daripada sisa ternakan yang dilepaskan ke sungai tersebut.
"Kadang-kadang kalau tak ada air memang penduduk akan turun di sungai ini untuk guna air. Ikan pun banyak sebelum ini malah ramai penduduk termasuk orang asli yang cari ikan di sungai ini.
"Dulu ada yang cuba mandi dan guna air sungai ini tapi apabila badan jadi gatal-gatal, tak ada siapa berani nak mandi lagi," katanya kepada pemberita selepas ditemui di rumahnya di Kampung Ulu Kuang di sini pada Selasa.
Bagi Roshdi Rawi Suid, 49, pula, Sungai Kuang itu sebelum ini menjadi sumber rezeki sampingan kepadanya kerana ikan di situ menjadi makanan untuk keluarga tetapi kini tidak lagi.
Penduduk kampung menunjukkan perubahan warna air yang keruh akibat pencemaran di Sungai Kuang sejak beberapa tahun lalu.
Penduduk kampung menunjukkan perubahan warna air yang keruh akibat pencemaran di Sungai Kuang sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, dengan harga ayam dan ikan yang semakin meningkat ketika ini, memang dia berhasrat untuk kembali ke sungai tersebut mencari ikan tetapi malangnya ikan berkurangan.