Sunday 30 May 2021

#Buntong Pembantu kedai maut dibelasah

 

Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai dipukul empat lelaki dalam pergaduhan di sebuah kedai menjual herba berhampiran Pasar Awam Buntong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz berkata, mangsa dikenali sebagai Boy berusia 31 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap oleh rakan sekerjanya sekitar pukul 1.15 petang.

Katanya, seorang wanita iaitu rakan sekerja mangsa yang berada di kaunter juruwang memaklumkan, empat lelaki datang ke kedai untuk mencari lelaki itu.

Friday 28 May 2021

Polis Perak berjaya rampas dadah RM2.8 Juta


Enam individu membabitkan dua pasangan suami isteri dan dua beradik, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di negeri ini sejak tahun lepas, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata sindiket pengedaran itu juga tumpas dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.98 juta dalam empat serbuan berasingan di sekitar daerah Ipoh pada Rabu dan Khamis lepas.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat yang diterima, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 32 tahun di tempat letak kereta di sebuah kondominium di Kampung Simee di sini pada 2.30 petang, Rabu.

“Susulan penahanan lelaki tersebut, pada hari yang sama polis melakukan tiga serbuan berasingan di tiga rumah di Kampung Simee, Tambun dan Bercham di sini dan menahan tiga individu termasuk dua wanita berumur lingkungan 26 hingga 32 tahun.

“Polis turut melakukan dua serbuan di sekitar kawasan Bukit Merah dan Kampung Rapat di sini pada 5.10 petang semalam serta menahan dua lelaki berumur 27 dan 34 tahun,“ katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.

Wednesday 26 May 2021

Eina Azman, suami tidak potong ‘Q’ cucuk vaksin - Pengarah Hospital

 


Maklum balas berkenaan dakwaan potong barisan vaksin di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh oleh seorang artis tempatan dan pasangan. 

Berdasarkan semakan, kelayakan pemberian suntikan vaksin kepada pasangan tersebut adalah berdasarkan kepada rujukan oleh doktor pakar yang telah merawat pasangan ini atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi oleh mereka. 

Tiada isu “potong barisan” dalam pemberian suntikan vaksin ini dan pasangan ini telah dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawat kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi. 

Pasangan ini telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV, Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mei 2021.

Kenyataan penuh Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

#HutanMelingtang Mayat penuntut universiti lemas selepas selamatkan adik di Sungai Perak ditemui


1. Mayat pelajar universiti yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak dua hari lalu, ditemui awal pagi ini.Dalam kejadian di Kampung Tebing Rebak dekat sini pada Selasa, Muhammad Amirnur Hadi Ahmad Kamal, 21 tahun, penuntut Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), hilang selepas menyelamatkan adiknya.

2. Mayatnya ditemui pada pukul 3.30 pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zulkifli Abdullah, mangsa ditemui kira-kira 100 meter daripada lokasi dia dihanyutkan arus deras.

9,009 individu gagal hadir janji temu vaksin #covid19 di Perak

 


1.Dianggarkan kira-kira 9,000 individu di Perak gagal menghadiri janji temu suntikan vaksin fasa kedua Covid-19.Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, jumlah itu membabitkan mereka yang dijadualkan menerima dos pertama.

2. “Setakat ini, seramai 9,009 individu dikesan tidak hadir,” katanya ringkas menerusi WhatsApp di sini hari ini.


Monday 24 May 2021

#Taiping Lelaki direman 3 hari conteng dinding dengan perkataan biadap termasuk perkataan #KerajaanGagal


Lelaki yang dipercayai menconteng dinding beberapa bangunan di sini direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman, dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Taiping, Noraishah Ahmad, hari ini.

Suspek yang ditahan semalam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Terdahulu, suspek berusia 30 tahun itu yang bekerja sebagai pemotong rumput, tiba di Kompleks Mahkamah Taiping kira-kira jam 8.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu.

Sunday 23 May 2021

Usaha-usaha Kerajaan Negeri Perak jalankan bagi membantu rakyat menghadapi #covid19



1. Februari 2021: Selepas dimaklumkan banyak pelajar berdepan kesukaran sepanjang PKP 1.0, Dato' Saarani luluskan peruntukan RM2.71 juta untuk sediakan makanan percuma kepada lebih 37,000 calon peperiksaan melalui program Tuisyen Cikgu Saarani.


Kerajaan Negeri Perak salur RM 2,38 Juta bagi membantu rakyat yang terkesan dengan PKPD - Saarani Mohamad



Sebanyak RM2.38 juta disalurkan Kerajaan negeri bagi membantu rakyat khususnya golongan B40 yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Jelas Menteri Besar, YAB Dato’ Saarani Mohamad, RM1.2 juta akan disalurkan kepada empat Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD.

“RM400,000 untuk PDT Kinta dan PDT Larut Matang dan Selama manakala RM200,000 untuk PDT Hulu Perak dan PDT Muallim.

Saturday 22 May 2021

Kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin Ipoh disebabkan 779 individu yang gagal hadir pada tarikh janji temu yang ditetapkan

 


Kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini pada Jumaat lepas disebabkan kehadiran 799 individu yang gagal hadir pada tarikh janji temu ditetapkan aplikasi MySejahtera.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Ding Lay Ming berkata kehadiran beramai-ramai individu terbabit adalah untuk cuba mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu baharu disebabkan semalam adalah hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi daerah Kinta yang turut melibatkan Ipoh. 

"Jumlah sebenar janji temu yang diberikan melalui MySejahtera bagi tarikh 21 Mei adalah 1,570 orang, namun 799 telah hadir tanpa janji temu bersama pengiring masing-masing sehingga menyebabkan kesesakan sementara pihak pengurusan PPV menyelesaikan pemberian tarikh janji temu baharu.

"Pemberian vaksin di PPV ini bermula 24 Feb lepas dengan purata 1,500 orang sehari dan berjalan lancar serta terkawal. Pihak kami dukacita dengan kejadian kesesakan orang ramai yang berlaku," katanya dalam kenyataan selepas tular di media sosial PPV tersebut dibanjiri ratusan individu yang hadir tanpa janji temu. 

#PKPD Kemuka pas, surat majikan bagi urusan kerja - Ketua Polis Perak


1. Pekerja perkhidmatan perlu dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim di Perak tidak lagi dikehendaki mengemukakan ujian saringan kesihatan untuk keluar dan masuk bagi urusan kerja di kawasan terbabit.

2. Menurut laporan dari Bernama , Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka dibenarkan bergerak dengan hanya mengemukakan pas kerja atau surat majikan.

"Sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) menetapkan mana-mana individu perkhidmatan perlu yang tinggal di dalam kawasan PKPD dan bertugas di luar harus menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu di klinik kesihatan berdekatan.

"Mengikut SOP yang terbaharu, saringan kesihatan tidak diperlukan lagi," menurutnya dalam kenyataan ringkas malam ini.

Friday 21 May 2021

Polis tingkat SJR di empat mukim PKPD di Perak


IPOH, 21 Mei - Polis akan menambah bilangan sekatan jalan raya (SJR) di empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 4 Jun di Perak, bagi memastikan tiada pergerakan bebas keluar masuk orang ramai di kawasan berkenaan tanpa kebenaran.


Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pergerakan hanya dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikeluarkan semalam, dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada orang ramai yang mengingkarinya.


Beliau berkata polis juga akan melaksanakan Ops Payung di kawasan-kawasan strategik yang menjadi tumpuan ramai di kawasan itu, dan pihaknya menasihati masyarakat supaya sentiasa bersabar serta memberi kerjasama penuh kepada semua agensi yang terlibat sepanjang tempoh berkenaan.


“Selain itu kita juga akan menambah bilangan pasukan pemantau pematuhan SOP, dan seluruh elemen rondaan akan dilakukan secara berterusan terutamanya selepas pukul 10 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Menurutnya penugasan polis juga akan dibantu oleh pelbagai agensi termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.


Empat mukim yang terlibat PKPD di Perak ialah Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama, Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim.


Sumber : BERNAMA

Tiada pemotongan bekalan elektrik bagi pengguna domestik di semenanjung sehingga 30 Jun 2021

 


PUTRAJAYA - Tiada pemotongan bekalan elektrik akan dilaksanakan di rumah-rumah kediaman di Semenanjung Malaysia yang mempunyai tunggakan tidak melebihi enam bulan sehingga 30 Jun ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.


Beliau berkata, inisiatif kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, dianggarkan bakal memanfaatkan 6.96 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.


Bagi membantu pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, Shamsul Anuar berkata Pelan Bayaran Mudah turut dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.


“Diharapkan inisiatif ini akan dapat membantu memelihara kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini. 


Pada 21 Disember lepas, Shamsul Anuar berkata, kerajaan bersetuju supaya tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil elektrik tidak melebihi enam bulan sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac ini.


Pengguna domestik turut ditawarkan Pelan Bayaran Mudah selama enam bulan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun bagi membantu menguruskan bil elektrik mereka.


Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun, sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat. 


Sumber - Bernama

Wednesday 19 May 2021

#SlimRiver 5 kakitangan JUPEM terkandas di Bukit Naran ditemui selamat


Lima kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Cawangan Tapah yang terkandas di Bukit Naran, dekat Ladang Gohan, dekat sini, sejak pagi tadi, berjaya dibawa turun dengan selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataan malam tadi, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 9.16 malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

#TelukIntan Cubaan bawa daun ketum 154 Kg dalam guni benih padi gagal




Cubaan pemandu lori dan kelindannya membawa daun ketum ke Kuala Lumpur gagal apabila kenderaan itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di KM 30, Jalan Teluk Intan - Bidor di sini pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bertindak menahan lori yang membawa 21 guni antaranya bertulis 'benih padi'.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua guni tersebut mengandungi daun ketum seberat 152 kilogram bernilai RM4,560.

#TelukIntan Polis berjaya tangkap suspek kes samun, cederakan warga emas

 


Polis menahan seorang lelaki kerana mencederakan dan menyamun wanita warga emas berusia 73 tahun di Taman Bunga Raya, Jalan Sultan Abdullah di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditangkap di sebuah hotel hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek bertindak memecah masuk rumah mangsa menerusi bumbung.

"Mangsa yang tersedar dari tidur terus menjerit meminta tolong menyebabkan suspek bertindak memukul sebanyak tiga kali serta mengikat mulutnya.

Batu Gajah : Pekerja bunuh majikan kerana tidak dapat cuti

YDH Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi telah membuat lawatan penghormatan terakhir bagi  mendiang Kew Nam Wang berumur 52 tahun yang menjadi mangsa tidak puas hati pekerjanya di tempat kerja dan telah menyebabkan kematian.


BATU GAJAH: Berang permohonan cuti tidak diluluskan, seorang lelaki warga Myanmar sanggup memukul majikannya dengan kayu di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing di sini kelmarin.


Mangsa, Kew Nam Wang, 52, yang parah di kepala disahkan meninggal dunia pada pukul 8.35 malam ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.


Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku susulan pertengkaran antara suspek berusia 23 tahun dan mangsa berkaitan permohonan cuti lelaki itu.


Katanya, suspek kemudian bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu di bahagian belakang kepala.


“Pukulan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera di kepala manakala suspek melarikan diri dengan menaiki basikal.


“Kejadian itu disaksikan oleh dua rakan senegara suspek dengan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.


Menurut beliau, mangsa yang mengalami pendarahan di otak, retak tempurung kepala dan patah tulang tengkuk itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas lebih 12 jam menerima rawatan.


Katanya, suspek yang melarikan diri itu bagaimanapun berjaya ditahan di belakang kawasan perumahan di Bandar Seri Pengkalan, Pusing pada pukul 6.15 petang, semalam.


“Siasatan di tempat kejadian mendapati premis tersebut mempunyai tiga kamera litar tertutup namun tidak berfungsi sejak setahun lalu.


“Ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif mengambil dadah dan dia direman tujuh hari sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. 


SUMBER : UTUSAN ONLINE 



 

Menteri Besar nafi Perak laksana 'full lockdown' Jumaat ini


IPOH, 19 Mei - Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menafikan mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat atau 'full lockdown' akan dilaksanakan di seluruh negeri Perak Jumaat ini. 


Beliau berkata hingga hari ini, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan dan masih mengadakan perbincangan lanjut berkenaan hal tersebut.


“Saya tidak pasti (dari) mana datangnya sumber maklumat itu. Yang pastinya, kita memang ada beberapa siri mesyuarat yang dijalankan bagi perbincangan berkaitan PKP namun masih belum mempunyai keputusan muktamad. 

Tuesday 18 May 2021

Jawatan Ketua Pengarah JAKOA wajib diberikan kepada Orang Asli berkelayakan - Ramli


IPOH, 19 Mei - Kekosongan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ketika ini wajib diisi oleh calon berkelayakan daripada masyarakat Orang Asli Malaysia, kata Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.


Beliau sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia di Parlimen mendakwa pihaknya menerima maklumat bahawa ada usaha dalam kalangan pegawai kementerian berkenaan supaya jawatan itu tidak disandang oleh masyarakat itu.


"Jawatan Ketua Pengarah JAKOA ini pada dasarnya akan diberi keutamaan untuk disandang oleh seorang rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia yang berkelayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Untuk rekod, Jawatan Ketua Pengarah Pengarah JAKOA kini kosong setelah penyandangnya Prof Dr. Juli Edo yang merupakan seorang Orang Asli Semenanjung Malaysia menamatkan kontraknya bulan lalu.

#Covid19 : 17 masjid, surau di Perak ditutup sementara

 


IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) mengesahkan sebanyak 17 masjid dan surau di negeri ini ditutup sementara berikutan penularan kes Covid-19 di dalam komuniti.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, selain masjid, beberapa pejabat bahagian dan pejabat agama daerah turut ditutup sementara.

Menurutnya, penutupan sementara itu dibuat bagi kerja-kerja pembersihan dan proses sanitasi di kawasan masjid serta pejabat yang terlibat.

"Sehingga kini, sebanyak 17 masjid dan surau di negeri ini diarahkan tutup sementara waktu termasuk 12 daripadanya di Ipoh. Selain itu, Pejabat Bahagian Halal JAIPk di Jalan Labrooy, di sini dan Pejabat Agama Islam Daerah Bagan Datuk juga ditutup sementara.

"Kerja-kerja pembersihan dan proses sanitasi sedang dilakukan di lokasi terlibat. Pembukaan semula semua masjid, surau dan pejabat yang terlibat akan dimaklumkan kemudian," katanya


Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai maklumat yang tular di aplikasi WhatsApp mengenai penutupan beberapa masjid dan pejabat agensi agama di Perak.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menerusi kenyataan di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin memaklumkan penutupan sementara jabatan itu.

Melalui kenyataan itu, penutupan tersebut bermula pada 18 hingga 20 Mei dan sepanjang tempoh tersebut sebarang urusan akan dilaksanakan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) turut mengumumkan penutupan sementara operasi semua kaunter MAIPk di Kompleks Islam Darul Ridzuan, kaunter di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) dan Pejabat Pentadbiran MAIPk Daerah di seluruh Perak.

Menerusi kenyataan di Facebook Zakat Perak - MAIPk, penutupan bermula pada 17 hingga 21 Mei itu dibuat bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi serta proses pemulangan kutipan dan kupon zakat fitrah oleh amil.

Menurut MAIPk, sebarang urusan pembayaran zakat, fidyah dan wakaf digalakkan untuk dilaksanakan secara dalam talian.

Sumber : Sinar Harian 

Monday 17 May 2021

Sitiawan : Berang tak dibenarkan masuk pasar awal, lelaki pukul dan ludah anggota RELA

 


SITIAWAN: Berang kerana tidak dibenarkan masuk pasar lebih awal daripada waktu operasi, seorang lelaki bertindak di luar batasan apabila mengasari dan meludah seorang anggota RELA yang menjaga laluan pintu masuk pasar berkenaan kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi, suspek berusia 52 tahun memukul mangsa iaitu lelaki berusia 45 tahun dengan tangan, mengeluarkan kata kesat dan meludah muka mangsa. Video memaparkan kejadian itu tular di WhatsApp dan WeChat.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata laporan polis berhubung kejadian itu dibuat mangsa pada jam 12.40 tengah hari semalam.

Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa menahan suspek daripada masuk kerana pasar akan mula dibuka dan beroperasi pada 7 pagi. Bagaimanapun, suspek tidak menghiraukan arahan dan mahu terus masuk ke pasar sebelum mangsa cuba melarang lalu berlaku pergelutan antara mereka.

"Suspek kemudian memukul mangsa dengan tangan selain mengeluarkan kata-kata kasar dan meludah muka anggota RELA itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, susulan itu pihaknya menahan suspek di rumahnya jam 8.50 malam semalam. Semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau penyalahgunaan dadah.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber : Berita Harian 

Sunday 16 May 2021

Laporan kawasan #Chemor terdapat kes #covid19 varian Afrika Selatan BERITA PALSU


 Jabatan Kesihatan Negeri Perak menafikan mesej tular di media sosial yang menyenaraikan nama kampung dan taman perumahan dalam Mukim Ulu Kinta di kawasan Chemor didakwa terdapat kes jangkitan COVID-19 varian Afrika Selatan (B.1.351).

Perkara itu disahkan pengarahnya Datuk Dr Ding Lay Ming ketika ditanya mengenai kesahihan mesej tersebut.

"Berita palsu," katanya ringkas ketika dihubungi tanpa mendedahkan maklumat lanjut.

Saturday 15 May 2021

SUNGAI SIPUT : Kumpulan remaja langgar SOP , 18 saman trafik dikeluarkan

 


SUNGAI SIPUT: 18 saman berkaitan kesalahan trafik dikeluarkan terhadap sekumpulan 20 remaja yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal  di Jambatan Victoria, Karai, di sini, petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan  Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata kesemua mereka berusia antara 18 hingga awal 20-an turut diarahkan menolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Karai membabitkan jarak kira-kira 450 meter bagi tujuan dokumentasi.

Beliau berkata, saman yang dikeluarkan kira-kira jam 3 petang itu adalah hanya bagi kesalahan trafik seperti tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu serta ubahsuai motosikal tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

"Tindakan saman yang dilakukan adalah hasil aduan orang ramai yang mendapati mereka sering menjadikan jambatan yang sedia menjadi tumpuan pelancong itu untuk melepak dan bergurau senda sesama mereka dalam keadaan tiada pematuhan penjarakan fizikal.

"Selain itu anggota polis yang membuat rondaan di situ, sebelum ini juga sudah berulang kali memberi amaran supaya mereka bersurai, namun sesudah ketiadaan peronda, mereka kembali melepak di situ. 

"Bagaimanapun untuk kali ini, tiada  kompaun dikeluarkan terhadap mereka kerana pelanggaran SOP PKP sebaliknya diberi amaran keras untuk tidak mengulangi kesalahan itu, mengambil kira usia hampir keseluruhan dari mereka yang masih remaja (bawah 21 tahun)," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Khaizam berkata, amaran keras yang diberikan kerana pelanggaran SOP PKP itu sekali gus menunjukkan polis masih diberi kuasa serta mempunyai budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun.

Beliau berkata, namun kuasa budi bicara terbabit bukanlah alsan untuk masyarakt mengambil mudah menegai pematuhan SOP selepas ini.

"Saya minta orang ramai patuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan kita tidak lagi akan berkompromi selepas ini untuk tindakan tegas diambil sekiranya kesalahan masih dilakukan," katanya.

Sumber 

#AlorPongsu Seorang maut dua cedera, Audi RS7 langgar lori ayam di lebuhraya PLUS


Seorang lelaki maut manakala dua cedera selepas sebuah kereta jenis Audi RS7 terbabas lalu terlanggar sebuah lori ayam di Km 178.5 Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan Alor Pongsu arah selatan, hari ini.

Mangsa, Muhammad Aiman Mazman, 26, yang beralamat di Gombak, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.15 petang.

Anjur rumah terbuka Aidilfitri, tuan rumah dikompaun RM2,000


IPOH, 15 Mei – Seorang lelaki dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri di Tanjung Malim, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata sebelum itu pihak polis telah menerima aduan orang ramai bahawa terdapat rumah yang dihadiri ramai orang.

Katanya susulan itu sepasukan anggota polis telah ke membuat pemeriksaan di rumah itu pada jam 5.45 petang sebelum pekerja swasta yang berusia 31 tahun itu mengaku menganjurkan rumah terbuka.

Bagaimana pun ujar beliau ketika pemeriksaan dilakukan mendapati tiada kehadiran orang ramai kecuali terdapat kesan ianya telah dikunjungi individu-individu luar seperti dilaporkan.

#ChangkatJering Dakwaan berlaku lambakan timun tidak tepat


Dakwaan berlaku lambakan timun yang tidak terjual di Kampung Chengal Jantan,  Batu 9  Changkat Jering di sini yang tular dalam media sosial tidak tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, beliau telah bertemu dengan pekebun yang terlibat hari ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Menurutnya, pekebun berkenaan tidak dapat menjual hasil tanamannya kerana pasar awam tutup semasa musim perayaan dan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan negeri dan Jabatan Pertanian serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)  membantu memasarkan hasil tanaman pekebun ini secepat mungkin bagi mengelakkan dia mengalami kerugian,” katanya kepada pemberita selepas melawat pekebun yang terlibat di Changkat Jering di sini hari ini.

#Tambun Kanak-kanak lemas ketika berkelah bersama nenek, bapa saudara di Sungai Ulu Piah


Seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga tahun lemas ketika berkelah bersama nenek, bapa saudara dan dua abangnya di Sungai Ulu Piah, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Izz Auf Ghazali disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa bersama anggota keluarga berkelah di kawasan sungai berkenaan kira-kira jam 10 pagi, tanpa ibu dan bapanya.

Friday 14 May 2021

ADABI Mohon maaf ketupat yang dimasak menjadi lembik

 


Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) memohon maaf atas kesulitan dihadapi pengguna susulan isu ketupat yang dimasak menjadi lembik.

Dalam satu kenyataan, Adabi menyeru kepada pengguna supaya menyalurkan terus aduan di rangkaian laman media sosial rasmi Adabi.

"Sekiranya pihak pengguna mendapati produk ketupat Adabi yang dibeli adalah lembik setelah dimasak, aduan boleh disalurkan terus melalui rangkaian laman media sosial rasmi Adabi.

"Untuk makluman pihak Adabi telah pun mengambil langkah untuk menukar beras yang digunakan agar perkara ini tidak berulang, " ujarnya.

Kenyataan itu menyebut, Adabi menghargai maklum balas daripada pengguna dan segala kesulitan berkaitan isu kualiti ketupat berkenaan amat dikesali.


ADABI

#Langkap Seorang maut ditetak, 2 parah pergaduhan dengan 8 lelaki

 


Seorang lelaki ditemui maut dengan keadaan tangan kanan hampir putus, manakala dua rakannya parah dalam pergaduhan di Tapak Pembinaan Perumahan Taman Desa Maju, Langkap di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berumur 29 tahun sedang minum bersama tiga rakan sebelum dihampiri sekumpulan lapan lelaki menaiki dua kereta yang menyerang mereka.

"Mangsa dan rakannya kemudian melarikan diri namun suspek mengejar mereka menggunakan parang.

Thursday 13 May 2021

#PantaiRemis Lelaki maut akibat letupan tong gas pada malam raya


Seorang lelaki menemui ajal pada malam Aidilfitri apabila tong gas meletup di sebuah bengkel rumah di Jalan Parit Amerikan, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa mangsa berusia lingkungan lewat 20-an itu pada 12.01 tengah malam.

"Kami segera mengerahkan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat sebaik menerima panggilan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setibanya jentera bersama pasukan di tempat kejadian mendapati berlaku letupan dipercayai akibat proses memindahkan bahan dari tong besar ke tong yang lebih kecil di bengkel berkenaan.

Mesej tular dakwa Hospital Raja Permaisuri Bainun penuh palsu - Pengarah HRPB


Mesej tular mendakwa situasi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, berada pada tahap membimbangkan berikutan peningkatan kes Covid-19, adalah tidak benar.

Pengarah HRPB Dr Abdul Malek Osman berkata, mesej tersebut adalah palsu, sebaliknya keadaan semasa di hospital itu masih terkawal, malah perkhidmatannya juga berjalan lancar seperti biasa.

“Masyarakat diingatkan agar tidak menularkan sebarang berita atau maklumat yang tidak sahih, agar tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau mengulas mesej tular yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp yang menyebut HRPB kini mengalami masalah wad untuk menempatkan pesakit positif Covid-19 tahap tiga hingga lima, selain wad bagi pesakit jantung juga penuh.

Tuesday 11 May 2021

Polis Perak perjelas Ops ‘jaga tol’

 

IPOH – Polis Perak hari ini menjelaskan operasi pemeriksaan dan pemantauan di plaza tol yang dijalankan mereka, adalah bagi mengelakkan berlakunya kesesakan selain mengesan salah guna permit kebenaran perjalanan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pelaksanaan operasi itu dikenali sebagai Projek Rintis Op Covid-19 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) itu, akan menempatkan anggota polis di setiap plaza tol hala masuk untuk membuat pemeriksaan dan memantau kadar bayaran tol.

“Sebelum pengguna menyentuh kad Touch and Go, kita akan bertanya mereka dari mana dan hendak ke mana. Kemudian, kita akan sahkan menerusi mesin pengimbas (sama ada betul atau tidak) untuk mengetahui kesahihan perjalanan.

“Kita sudah lakukan projek ini sejak dua hari lalu dan kita telah berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas, kerana terdapat empat lorong tol yang digunakan,” katanya selepas melawat pemeriksaan SJR di Plaza Tol Ipoh arah Selatan hari ini.

Jelasnya, projek ini adalah yang pertama di Ipoh dan di negeri Perak, dan ia akan dijalankan di tiga lokasi untuk kajian iaitu Plaza Tol Jelapang, Ampang dan di Simpang Pulai, yang mana operasi ini akan diperluaskan ke seluruh negeri bergantung kepada tahap kejayaan dan kesesuaiannya.

Mior Faridalathrash sebelum ini dilapor sebagai berkata, pihaknya akan melakukan strategi dalam membanteras pergerakan rentas negeri di beberapa plaza tol, khasnya sewaktu musim perayaan selain usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 ke negeri ini.

Dalam pada itu beliau berkata, plaza tol merupakan lokasi yang selamat daripada panas dan hujan serta mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), yang dapat membantu PDRM mengelakkan berlakunya salah guna kuasa atau tohmahan kepada pegawai yang bertugas.

“Setiap pegawai penguatkuasa akan berada di plaza tol PLUS dan kita boleh adakan pemeriksaan kalau hujan lebat. Jika di luar susah kita hendak adakan pemeriksaan kalau hujan, panas dan sebagainya. Selain itu, kita gunakan kemudahan CCTV untuk memantau apa yang berlaku di antara petugas dan orang ramai.

“Setakat ini juga kita belum mengesan penipuan yang dilakukan pengguna,” jelasnya dan menambah sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan semalam di seluruh negeri Perak, kepada mereka yang gagal mengemukakan surat rentas negeri serta mengarahkan mereka berpatah balik – Bernama

Monday 10 May 2021

Teluk Intan - Lima rumah di Kampung Padang Tembak, musnah dalam kebakaran malam tadi.

 


Lima rumah di Kampung Padang Tembak, di sini musnah dalam kejadian kebakaran awal malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam satu kenyataan berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.47 malam.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian terdapat dua rumah sedang marak terbakar sebelum merebak ke tiga lagi rumah berhampiran.

"Operasi memadam kebakaran membabitkan anggota dari BBP Teluk Intan serta dibantu anggota BBP Hutan Melintang dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela Teluk Intan dengan keseluruhan seramai 53 anggota.

"Bagaimanapun dalam kejadian ini tiada mangsa terlibat, hanya harta benda yang musnah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, selain rumah, turut musnah dalam kebakaran itu sebuah motosikal.

Jelasnya, operasi pemadaman kebakaran itu tamat pada jam 12.30 tengah malam.

Sumber: Harian Metro

Sunday 9 May 2021

Bekas tentera serang post Batalion ke-4 Gerik mati ditembak

 


Seorang lelaki bersenjatakan parang yang menceroboh masuk kawasan pos kawalan Kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan, di sini, mati ditembak ketika bergelut dengan pengawal di pintu hadapan kem, jam 6.45 petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebelum pergelutan berlaku, lelaki berusia 35 tahun itu diberi amaran oleh anggota tentera yang melakukan kawalan di pos pintu hadapan kem berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit bagaimanapun tidak menghiraukan amaran itu, malah bertindak agresif menyerang anggota tentera pengawal dengan senjata yang dibawa dan berlaku pergelutan sebelum ditembak.

"Dalam pergelutan itu, anggota tentera pengawal pos melepaskan tembakan dan mengenai lelaki terbabit.

Thursday 6 May 2021

Polis Perak : Kadar bayaran tol juga di periksa, jangan ingat boleh rentas negeri

 


IPOH, 7 Mei - Mana-mana pengguna lebuh raya yang didapati mempunyai kadar bayaran tol tidak munabasah dan tinggi akan dikenakan kompaun selain diarah berpatah balik ekoran kesalahan rentas negeri, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.


Beliau berkata ini antara strategi digunakan pihaknya dalam membanteras pergerakan rentas negeri khasnya sewaktu musim perayaan selain usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 ke negeri ini.


"Akan ada pemeriksaan (oleh beberapa anggota di plaza tol), tetapi tidak kepada semua kenderaan. Kalau kita buat terlalu ketat seperti pemeriksaan semua kenderaan, akan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Kita mungkin tengok pada kadar bayaran tol.


“Contohnya bila bacaan tol itu tinggi seperti dari Jalan Duta, kita akan hentikan kenderaan tersebut untuk tindakan kompaun dan arah pengguna berpatah balik kecuali mereka yang ada surat pelepasan. Ini satu daripada strategi.


“Kadang-kadang ada yang pandai keluar tol itu ini untuk elak dikesan rentas negeri. Mereka ada pelbagai taktik. Kita tidak mampu periksa semua pengguna jalan raya. Berilah kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara hari ini.


Sumber : Bernama 

Tuesday 4 May 2021

#PantaiRemis Dua nelayan dikhuatiri lemas


Dua kru bot nelayan tempatan warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam dalam kejadian ribut di perairan Pantai Remis, di sini, semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.35 tengah malam tadi sebelum mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan antara empat bot nelayan kelas B yang dilaporkan karam akibat dilanda ribut ketika menangkap ikan.

Bagaimanapun katanya, hanya dua kru daripada sebuah bot berkenaan dilaporkan hilang, manakala kru tiga bot lagi dilaporkan selamat.

"Jumlah sebenar mangsa masih dikenal pasti dan semua bot itu berpangkalan di Pantai Remis dan dimiliki oleh tiga majikan berbeza.

Monday 3 May 2021

Dua sekolah di Kinta diarah tutup dua hari

 


IPOH - Sebanyak dua buah sekolah di daerah Kinta ditutup selama dua hari susulan terdapat pengesanan kes positif Covid-19.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keledang, Menglembu menerusi laman Facebooknya memaklumkan penutupan berkuat kuasa pada Isnin selepas terdapat satu kes positif.

Sekolah Kebangsaan St Michael pula ditutup bermula Selasa hingga Rabu dan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dijalankan pada tempoh tersebut.

Sementara itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud mengesahkan penutupan sekolah tersebut.

"Sekolah ditutup susulan kes positif Covid-19 yang dilaporkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Penutupan itu bagi membolehkan pihak PKD membuat penilaian risiko, pengesanan kontak rapat dan menjalankan proses sanitasi," katanya.

Sumber : Sinar Harian 

Wanita OKU ditemukan lemas di Taiping

 


Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan lemas selepas terjatuh dari tebing sungai di halaman belakang rumahnya di Kampung Tepi Sungai, Kuala Sepetang dekat Taiping, pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping Rafeel Hairul Richard berkata mangsa dikenal pasti sebagai Beh Su Mei, 34, dan ditemukan lemas pada pukul 9 malam semasa operasi mencari di lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Katanya pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira 7 malam tadi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Elak tol 45 kali, wanita berkereta Mercedes A-Class akhirnya ditahan

Sister yang lebih dari mampu bayar TOL sebab pakai Merc yang berharga lebih RM200 Ribu, tetapi tak nak bayar tol.  Namun ibarat sepandai-pan...